Tempat Membeli-Belah Di Kelantan

A) Zon Bebas Cukai Pengkalan Kubor

Zon Bebas Cukai Pengkalan Kubor di Tumpat Kelantan merupakan tempat membeli-belah yang mendapat sambutan di kalangan penduduk tempatan dan juga pelancong luar. Barangan yang jual di sini adalah barangan tempatan dan juga buatan Thailand. 
Pintu utama Zon Bebas Cukai ini dibuka pada pukul 8.00 pagi dan ditutup pada 5.30 petang. Oleh itu, pengunjung dinasihati agar datang pada sebelah pagi untuk memberi lebih masa kepada anda untuk membeli-belah. Selain itu, parking di sini juga agak terhad. 

Perlu diingat, pengunjung mesti melalui pemeriksaan kastam sebelum keluar. Pemeriksaan kastam di sini agak ketat jika anda membuat pembelian yang banyak.
  
Deretan kedai yang terdapat di Zon Bebas Cukai Pengkalan Kubor

Pelbagai barangan dijual di sini seperti jersi bola, pakaian celoreng, toto, pinggan mangkuk, periuk belanga, barangan dapur dan sebagainya.





Jersi Bola 

Pelbagai pakaian
Aneka Pakaian Kanak-kanak
Bantal, toto, selimut dan tikar
Barangan permainan untuk kanak-kanak- Murah-murah!!!
Kedai yang menjual pakaian wanita
Di sini juga anda boleh mendapat periuk dan kuali berjenama seperti Tefal, Corelle, Corningware dan sebagainya. Harga yang ditawarkan lebih kurang sama dengan harga di Rantau Panjang. Pastikan anda berkunjung ke kedai yang authorized menjual barangan ini untuk mengelak daripada terbeli barang tiruan.
Kedai periuk, pinggan dan mangkuk yang berjenama di sini

Di sini juga ada dijual pelbagai jenis kacang, biji gajus dan lain-lain kudapan yang sesuai dimakan ketika di dalam kereta atau pun di tempat penginapan.
Mmmmm.....menyelerakan...

B) Zon Bebas Cukai Rantau Panjang


Zon Bebas Cukai Rantau Panjang merupakan tempat membeli-belah yang paling popular di Negeri Kelantan. Tempat ini akan menjadi salah satu tempat yang paling sibuk dan sesak bila tiba musim cuti sekolah. Dibuka seawal 8.00 pagi dan ditutup pada pukul 6.00 petang. Waktu puncak adalah bermula dari pukul 11.00 pagi sehingga pukul 4.00 petang. 

Bersesuaian dengan lokasinya yang bersempadan dengan Thailand, maka barang-barang yang dijual di sini adalah sinonim dengan barangan keluaran Negera Gajah Putih tersebut. Dari Toto, seluar Levi's, kasut, beg tangan, tikar, periuk, pinggan mangkuk, kain tudung dan bermacam-macam lagi termasuk la makanan dan buah-buahan.


Jersi dan Spotwear

Kepada penggemar jersi bola, Zon Bebas Cukai Rantau Panjang merupakan pilihan tepat untuk mereka. Jersi atau sportwear memang boleh didapati dengan banyak dan murah di sini. Pilihlah jersi kelab kesukaan anda, dari Manchester United, Arsenal, Barcelona, Real Madrid dan lain-lain kelab terkemuka dunia, semua boleh didapati di sini. Tidak ketinggalan juga jersi Pasukan Kebangsaan (Harimau Malaya) ataupun pasukan negeri pilihan anda. 

Walaupun ianya adalah tiruan, tetapi kualiti kain yang digunakan adalah tidak jauh beza dengan jersi yang anda beli di kedai-kedai yang berjenama. Pastikan anda memilih jersi yang bergred A. Sila maklumkan hasrat anda kepada penjual, anda pasti berpuashati. Percayalah, Zon Bebas Cukai Rantau Panjang merupakan syurga untuk peminat jersi dan sportwear.

Jersi oh jersi.....

Jersi lagi...


Perkakas Dapur

Seperti di Zon Bebas Cukai Pengkalan Kubor, perkakasan dapur juga boleh didapati di sini dengan banyak dan murah. Jenama seperti Corelle, Visions, Corningwear, Pyrex dan tidak ketinggalan juga jenama dari Thailand seperti periuk cap buaya dan cap helang.


Kedai-kedai yang menjual pinggan, mangkuk, periuk dan kuali berjenama...


Pinggan dan mangkuk jenama Corningwear

Pelbagai periuk dari Thailand....cantik dan murah

Kuali dan periuk jenama Tefal original dari Perancis. Kadang-kadang boleh dibeli dengan harga yang lebih murah berbanding di Langkawi...

Periuk cap buaya yang menjadi pilihan pembeli tempatan dari dulu sampai sekarang..tahan lasak!!


Barangan Kanak-kanak

Untuk barangan kanak-kanak pula, pakaian, bantal, selimut dan patung-patung animasi seperti Upin Ipin, Ben 10, Ultraman,Nemo dan Doraemon banyak didapati di sini.

Deretan kedai menjual periuk dari Thailand

Senario di waktu puncak...


Makanan

Senonim dengan lokasinya, makanan di sini adalah dipengaruhi budaya Thailand. Makanan yang berat seperti tomyam, mee celup, pulut ayam dan nasi campur amat senang diperolehi. Selain itu, makanan ringan seperti laksam, laksa dan sejenis sate ikan yang dikenali sebagai lokching di sini patut anda cuba. Pemanis mulut juga banyak terdapat di sini seperti pulut durian, pulut mangga (pulut pauh) dan pelbagai bubur manis.

Pelbagai hotdog dan lokching...

Waktu makan tengahari...


Jika berkunjung di sini, jangan lupa mencuba Baba Ice Cream. Ia mengandungi pulut, roti, kacang dan jagung. 

Dijual di atas basikal...bukan sahaja unik tetapi lazat....



Tips membeli belah di Rantau Panjang

  • Bawa orang Kelantan supaya lebih mudah dan senang untuk tawar menawar, ataupun mereka yang boleh ‘kecek kelate’ (cakap loghat kelantan). Kalau tiada pun tidak mengapa, anda boleh praktikkan beberapa tip yang disediakan untuk mendapatkan harga yang istimewa dan mengelakkan dari dikenakan harga tidak masuk akal.
  • Tawar menawar terus dengan tauke kedai.
  • Pergi ke kedai tumpuan yang ramai pembeli dari kalangan penduduk tempatan. Jika tidak mahu membuang masa survey harga di Rantau Panjang, cari sahaja kedai yang mana ramai pembelinya dari kalangan warga tempatan. Peluang anda berjumpa kedai paling murah sangat cerah.
  • Elakkan datang ke sini pada hari Jumaat dan Sabtu terutamanya pada waktu petang kerana pada waktu inilah waktu yang paling sesak dan sukar untuk tawar menawar, membeli pun tidak tenang dengan orang ramai, ditambah pula terik panas.
  • Masa sesuai untuk membeli-belah adalah jam 8 pagi hingga 12 tengah hari. Pada waktu ini pengunjung belum ramai, jadi pekedai biasanya akan melayan anda jika anda ingin merunding harga sesuatu barang. Datang lebih awal lebih baik kerana lebih banyak masa dapat diperuntukkan untuk survey segenap kedai di Rantau Panjang bagi mendapatkan harga yang terbaik.
  • Perlu diingat, pekedai letih melayan karenah pembeli untuk tawar menawar, berkomunikasilah dengan pekedai dengan berhemah dan beramah mesra lah dengan mereka.
  • Anda penat dan lapar semasa membeli belah disini? Usah risau. Anda akan dapati kedai makan sangat banyak. Anda disarankan untuk singgah dimana-mana kedai makan disini. Masakan Kelantan + Siam banyak disediakan oleh kebanyakan kedai makan. Pasti anda berasa teruja untuk mencubanya.

C) Pasar Siti Khadijah


Pasar Siti Khadijah adalah nama sempurna nama isteri Nabi Mohammed S.A.W. yang merupakan peniaga wanita yang berjaya di zamannya. Pasar ini menjadi ikon kepada pelancongan di Negeri Kelantan. Antara keunikan di sini adalah peniaga atau penjual adalah dimonopoli oleh kaum wanita. Senario yang jarang-jarang dilihat di tempat lain. Antara barangan yang dijual di sini ialah barangan asas dan keperluan dapur, pakaian dan juga makanan.

Pasar ini beroperasi seawal jam 6.00 pagi hingga 7.00 petang. Semua peniaga akan menghentikan segala urusan jual beli setelah masuk waktu sembahyang selama 15 minit. Ini bagi membolehkan semua pengunjung dan peniaga menunaikan solat.


Tingakat bawah:

Kebiasaannya, tingkat bawah ini lebih ramai dikunjungi oleh pengunjung tempatan. Antara barangan yang dijual di sini ialah barangan basah, kuih muih, sayuran, beras, buah-buahan, lauk dan keperluan asas dapur.

Pemandangan dari atas....meriahh...

Antara produk yang popular di tingkat bawah...beras Siam. 


 Tingkat 1

Di tingkat ini, barangan yang banyak dijual adalah barangan kering seperti keropok segera, dodol, serunding daging, kerepek, makanan segera, pelbagai kuih-muih, rempah ratus dan juga ikan kering. Kuih tradisional yang amat terkenal di Kelantan, akok juga ada dijual di sini.

Pemandangan di tingkat 1

Keropok segera...

Keropok sira. Rasa manis dan pedas....amat popular di sini..

Antara gerai makan yang terdapat di tingkat 1

Klasik dan santai...


Tingkat 2

Di tingkat ini barangan dijual adalah barangan batik, songket, tudung bawal, kain ela, kain sarung, kain pelikat, kain sembahyang, blouse, T-shirt,  kraftangan, beg, kasut, barang tembaga, peralatan dapur, bunga, pasu, barang kaca, barang kemas, alat solek, pewarna tikar, barang sulaman tudung dan permainan kanak-kanak.

Di sini merupakan syurga beli-belah kepada kaum hawa. Awas, barangan yang ditawarkan di sini bukan la terlalu murah. Anda kena bijak tawar-menawar untuk mendapat harga yang betul-betul berbaloi. Pembeli disarankan membuat servey harga terlebih dahulu sebelum membeli.

Meleleh liur akak-akak yang tengok...hihihiihi..

Leleh lagi....

Periuk belanga...


Kemudahan yang terdapat di sini

Surau untuk mengerjakan solat....berada di tepi Pasar Siti Khadijah


D) Pasar Malam Wakaf Che Yeh


Tidak sah datang ke Kelantan jika tidak berkunjung ke sini!!! Kemeriahan yang terdapat di sini sukar dilupakan jika anda pernah berkunjung di sini. Pekikan suara peniaga menarik perhatian pembeli dan juga tawar-menawar amat menggamit perasaan anda. 

Wakaf Che Yeh adalah simbol pelancong kepada Negeri Kelantan. Aktiviti di sini bermula awal pagi dengan menawarkan barangan basah dan barangan asas. Pada sebelah petang, aktivitinya berubah kepada pasar malam. Selaras dengan fungsinya sebagai simbol pelancongan, ianya telah dilengkapi dengan prasarana yang lengkap bagi memudahkan pengunjung dan pelancong seperti penambahbaikan kawasan sekitar pasar, pembinaan hotel-hotel, bangunan perniagaan dan gerai-gerai makan.

Pasar malam di sini tidak seperti pasar malam biasa di tempat lain. Di sini sambutan pengunjung amat meriah. Pada hujung minggu, ianya beroperasi sampai pukul 2-3 pagi. Pada musim perayaan pula, ianya beroperasi sampai ke subuh. 

 Antara gerai pakaian yang terdapat di sini

Minyak wangi dan replika jam berjenama....

Pelbagai replika jam berjenama....Anda boleh membeli replika jam Casio pada harga RM10-RM20 sahaja...

Antara jersi dan tuala kelab kesayangan anda..

Antara pakaian yang dijual

Pemandangan dari luar...sesak


Tips di Pasar Malam Wakaf Che Yeh


  1. Jika ingin merasai pemandangan pasar malam yang sangat meriah, memang disyorkan ke sini.
  2. Pelbagai ragam penjual dan pembeli boleh dilihat. Barangan yang dibeli biasanya konsep “see and buy” dan tiada barangan spesifik yang boleh didapati di pasar ini memandangkan ia berkonsep pasar malam.
  3. Purata harga di pasar ini tidaklah terlalu murah, malah ada juga barangan yang boleh dikatakan lebih mahal berbanding ditempat lain seperti jersi bola, tudung bawal asli dan toto.
  4. Tetapi anda boleh membeli belah di sini jika tidak ke tempat lain. Contohnya jika anda tidak ke Rantau Panjang atau ke Pengkalan kubor untuk membeli barangan seperti toto, boleh lah dapatkan di sini.
  5. Jika ingin membeli tudung bawal asli atau pelbagai jenis kain, selain di pasar malam ini,  tempat yang terbaik adalah di butik tudung yang beroperasi di lot bangunan di kawasan pasar malam ini serta di Bazar Tok Guru, atau Pasar Siti Khadijah kerana lebih banyak pilihan dan lebih selesa untuk tawar menawar berbanding di pasar malam.

D) Bazar Buluh Kubu



Terletak bersebelahan Istana Balai Besar and Pasar Besar Siti Khadijah. Bangunan 3 tingkat ini biasanya dikunjungi oleh mereka yang berminat dengan produk tempatan terutama fabrik batik, cenderamata, emas, songket perak, dan juga barangan yang dimport dari Thailand. Di sini anda boleh tawar-menawar harga dengan penjual tanpa masalah.

Di sini juga ada dijual pakaian, kemeja-T, kain sarung, pelbagai jenis topi dan juga barangan hiasan seperti keris dan juga barangan hasil pertukangan perak yang halus buatannya.

Antara batik dijual di sini...

Aneka Batik


Barangan Perak


E) Bazar Tok Guru

Bazar Tok Guru Kota Bharu
Bazar Tok Guru adalah tempat membeli-belah terbaru di Kelantan Ia beroperasi pada pertengahan tahun 2011. Bazar ini telah menggantikan pasar MPKB dan Arked UDA yang dirobohkan. Sebahagian besar peniaga di pasar MPKB dan UDA telah  berpindah ke Bazar Tok Guru ini.
Ia dibina dengan konsep bercirikan Islam. Rekabentuk bangunan seperti kubah dan gerbang masuk diambil dari rekabentuk masjid di Mekah dan Madinah.
Pelbagai kemudahan yang disediakan di Bazar Tok Guru ini. 
Antaranya ialah:
  • Tingkat Bawah – Lot-lot perniagaan.
  • Tingkat 1 & 2 – Lot-lot Bazar berjumlah lebih 400 unit.
  • Kemudahan tempat letak kereta di tingkat semi basemen.
  • Empat (4) gerbang masuk utama.
  • Tempat letak bas pelancong.
  • Perhentian pengangkutan awam seperti bas, teksi dan beca.
  • Kaunter Penerangan Pelancong.
  • Kemudahan bank dan mesin ATM.

Barangan yang dijual di sini adalah tudung, kain batik, kain ela, pakaian lelaki dan wanita, kain sarung, kain pelikat, telekung wanita dan bermacam-macam lagi assesori wanita. Di sini memang menjanjikan kepuasan yang berganda terutama kepada pengunjung wanita. Selain dari pilihan yang banyak, harga yang ditawarkan juga agak murah berbanding tempat lain. Pendekata, ia adalah syurga membeli-belah bagi kaum hawa ini. 

Di sini, parking kereta yang disediakan juga cukup banyak. Para pengunjung tidak perlu risau. Selain itu, kedai runcit juga terdapat di sini. Anda boleh membeli keperluan anda sementara menunggu isteri anda membeli-belah di sini. Wajib berkunjung ke sini jika anda bercadang melawat ke Kota Bharu.

Kedai di Bazar Tok Guru
Aneka pakaian yang dijual

Pakaian di Bazar Tok Guru
Telekung wanita yang bercorak...sukar untuk didapati di tempat lain

Pakaian di Bazar Tok Guru
Aneka pakaian kanak-kanak....cantik

Kain tudung bawal asli di Bazar Tok Guru
Aneka tudung yang pasti membuat air liur cik Akak kita melelehhh...hehehe..



Tip shopping di Bazar Tok Guru


  • Pada waktu cuti sekolah, sangat sesuai berkunjung bermula jam 9 pagi hingga 12 tengahari. Lebih banyak masa boleh diperuntukkan untuk survey harga dan memilih barangan kerana terdapat banyak pilihan di sini.
  • Terdapat perbezaan harga antara kedai, oleh itu survey terlebih dahulu sebelum membelinya.
  • Jika berpuas hati dengan penjual dan harganya, minta sahaja kad perniagaan mereka atau dapatkan nombor kedai supaya mudah untuk anda kembali membeli di kedai tersebut di kemudian hari.
  • Tudung bawal asli boleh dibeli dengan harga borong jika dibeli dalam kuantiti yang banyak. Jadi sedikit sebanyak anda boleh menjana keuntungan jika dijual kepada rakan pejabat atau kenalan dengan harga pasaran terutamanya kepada orang luar Kelantan.


No comments:

Post a Comment